Zamil cabar Dr. Mahathir debat


(Utusan Online) – Isu kekayaan luar biasa anak-anak Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi persoalan banyak pihak khususnya dalam kalangan rakyat.

Meskipun telah beberapa kali diajukan mengenainya, bekas Perdana Menteri itu sehingga kini tidak memberi jawapan yang jelas.

Berikutan itu, bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim tampil melontarkan cabaran debat kepada Dr. Mahathir yang memfokus kepada tajuk `Punca kekayaan luar biasa anak-anak Dr. Mahathir’.

Zamil percaya, rakyat di seluruh negara mengakui hakikat bahawa anak-anak Dr. Mahathir mempunyai kekayaan yang amat luar biasa bertaraf multibilionair.

Katanya, rakyat mahu tahu bagaimana anak-anak Dr. Mahathir boleh menjadi kaya-raya dalam masa begitu singkat seperti Mirzan yang didakwa mempunyai kekayaan sehingga mampu membeli syarikat arak berharga RM3 bilion (sebagaimana yang tular di media sosial).

“Rakyat ingin tahu punca sebenar anak-anak beliau mampu kumpul kekayaan luar biasa itu. Apakah mereka semua ini pandai dan bijak dalam pelajaran atau perniagaan? Apakah mereka semua kena loteri setiap minggu sepanjang hidup mereka?

“Apakah mereka semua temui harta karun dari dalam bumi? Atau pun mereka jadi kaya-raya sebab bapa mereka salah guna kuasa?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zamil, beliau layak untuk berdebat dengan bekas Presiden sebuah parti lebih besar itu memandangkan Dr. Mahathir ketika ini tidak mempunyai parti politik, sama seperti kedudukannya.

“Saya harap Dr. Mahathir janganlah ada ego yang terlalu besar dan mahu perlekeh manusia macam saya,” jelas beliau.

 



Comments
Loading...