PPBM cacamerba, bergantung kepada personaliti


(Berita Harian) – Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelesaikan pelbagai masalah dalaman dan isu perlembagaannya dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), meskipun sudah ditubuhkan sejak dua tahun lalu, adalah bukti kepincangan dan kegagalan kepemimpinannya.

Meskipun dilaporkan mahu meniru UMNO, namun sehingga kini PPBM yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presidennya, masih gagal membina struktur organisasi sehingga mengundang bantahan ahli akar umbinya.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), parti itu masih lagi terawang-awang apabila gagal memenuhi semua perkara dituntut menerusi notis dikeluarkan ROS.

Malah, kegagalan PPBM mematuhi arahan notis itu juga menjadi punca pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai sebuah gabungan yang dianggotai PPBM bersama DAP, PKR serta Amanah tidak dapat diproses oleh ROS.

Muhyiddin mengaku PPBM tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut ROS iaitu mengemukakan laporan berkaitan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian parti itu.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengaku parti itu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan kerana struktur organisasi akar umbi yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Dr Mahathir pula mengaku, PPBM tidak mempunyai ahli di peringkat cawangan, selain bahagian parti hanyalah dalam jumlah yang kecil.

Ketika mengulas masalah menyelubungi PPBM, bekas Exco Pemuda Bersatu, Mohamad Taufik Abas, berkata ROS sepatutnya tidak teragak-agak lagi mengharamkan parti itu kerana kepemimpinannya gagal melaksanakan apa yang perlu sebagai sebuah pertubuhan politik.

“Sudahlah tidak mematuhi peraturan, ingin bersuara juga tidak dibenarkan. Malah, macam mana boleh mengadakan mesyuarat agung, tanpa ada menyelesaikan peringkat cawangan dan bahagian. Tiba-tiba sahaja ada perwakilan ke mesyuarat agung pada akhir tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan sebelum ini.

Penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul, menyifatkan pengakuan kepemimpinan tertinggi PPBM, membuktikan parti itu ditubuhkan secara tergesa-gesa demi kelangsungan politik peribadi pemimpin yang terbabit semata-mata.

Beliau berkata, ketiadaan struktur organisasi yang kemas, akan menyebabkan parti yang diterajui Dr Mahathir itu tidak mampu bertahan lama.

“Struktur organisasi yang cacamerba dan tidak menentu dalam PPBM, menyebabkan parti itu terpaksa bertenggek kepada DAP yang dominan dalam pakatan pembangkang untuk meneruskan kelangsungan dalam PRU-14.

“Ironinya, Dr Mahathir terpaksa mengakui sanggup menggunakan logo DAP untuk bertanding pada PRU-14. Dr Mahathir sudah tahu yang isu membabitkan partinya dengan ROS tidak akan selesai menjelang PRU,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata masalah struktur parti itu jelas menunjukkan PPBM membawa agenda peribadi semata-mata demi kelangsungan politik individu tertentu.

“Apabila tidak ada struktur, ia akan membawa masalah kepada parti. Orang akan tanya, siapa pemimpin PBBM di peringkat akar umbi? Takkan pemimpin PBBM hanya bergantung kepada Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz sahaja,” katanya.

Izani berkata, dikhuatiri PBBM akan menjadi parti yang berasaskan personaliti tertentu, yang hilang pengaruh selepas individu berkenaan tiada.

 



Comments
Loading...