Mahathir Sekali Lagi Mengaku Bimbang Tak Mampu Tunai Manifesto Pakatan


(KedahNews.com) – Calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa kenyataannya tentang ketidakmampuan pihaknya mengotakan manifesto gabungan pembangkang itu adalah tepat sebagaimana laporan media Singapura, Sunday Times.

Mahathir berkata, beliau mengakui manifesto Pakatan Harapan itu hanya bersifat populis, namun pandangannya menegaskan bahawa gabungan pembangkang itu tidak mampu memansuhkan tol sebagaimana yang dijanjikan.

“Antara kami, ada sedikit perbezaan pendapat, tapi saya ada pengalaman dengan tol. Saya berpendapat kita tidak boleh janji hal seperti itu.

“Sebab itu apabila ditanya, saya tidak bersetuju tol dimansuhkan. Tanpa tol, kita tidak boleh baiki jalan, dan kita tidak boleh bina jalan baru. Kita minta sektor swasta yang buat, tapi mereka tidak akan buat kecuali mendapat pulangan,” jelasnya semalam di ibu negara, memetik laporan sebuah portal berita pro-Pakatan Harapan.

Oleh yang demikian, Mahathir meluahkan pandangan tersebut kepada Sunday Times, sekaligus bimbang beliau tidak dalam melunaskan janji berkenaan jika kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

“Sebab itu saya bimbang, dan apa yang saya katakan hanyalah kebimbangan saya,” ujarnya lagi.

Mahathir sebelum itu dalam kenyataannya kepada Sunday Times berkata, rakan-rakan sekutunya bersifat sosialis dan suka berjanji suatu yang popular bagi mempengaruhi rakyat meskipun realitinya tidak mampu menunaikan janji tersebut.

“Kadang-kadang saya rasa mungkin kita tidak dapat menunaikan janji-janji ini. Parti kami, rakan pakatan kami, mereka sangat sosialis. Mereka suka memberi kepada rakyat.

“Saya beritahu mereka itu tidak boleh. Mahu mansuhkan semua tol? Saya cakap, kita perlu baiki jalan. Kita perlu buat lebih banyak jalan.

“Dari mana nak dapat duit kalau mahu bina jalan ini sendiri? Tapi mereka mahu populariti, jadi mereka cenderung berjanji seperti ini,” ujarnya.

Pakatan Harapan sebelum ini melancarkan manifestonya, termasuk berjanji akan memansuhkan semua tol di negara ini sekiranya dapat berkuasa di negara ini selepas PRU ke-14.

Dipercayai janji berkenaan adalah untuk menyaingi tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang sebelum ini telah memansuhkan beberapa buah tol yang dibina Mahathir ketika berjawatan Perdana Menteri.

Selain itu, Mahathir turut dikritik keras oleh rakyat gara-gara membina Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dengan melibatkan syarikat konsesi yang mengenakan bayaran tol dan perjanjian yang didakwa berat sebelah.

Difahamkan bahawa perancangan asal pembinaan lebuh raya PLUS oleh Perdana Menteri terdahulu adalah tidak mengenakan tol, namun Mahathir mengubahnya dan memberi hak kaji semula kenaikan tol setiap tiga tahun kepada syarikat konsesi terbabit.

Meskipun beliau memberi alasan mengenakan bayaran tol bagi membolehkan penyelenggaraan lebuh raya dibuat, namun pendekatan Mahathir dikritik keras kerana jelas membebankan rakyat di negara ini.

Malah kritikan terhadap bekas Perdana Menteri itu kian hebat khususnya selepas Najib mengumumkan pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo yang jauh lebih panjang merentasi Sabah dan Sarawak dengan nilai RM27 bilion, tanpa mengenakan sebarang tol.

Turut difahamkan bahawa kos penyelenggaraan lebuh raya Pan Borneo juga akan ditanggung oleh pihak kerajaan berbanding kaedah Mahathir yang dilihat mahu meletakkan bebanan kos penyelenggaraan tol di bahu rakyat.

 



Comments
Loading...