TAHNIAH DR KAMARUL : HUJAH DENGAN FAKTA DAN PENUH HORMAT


1. Keberanian yang ditunjukkan oleh Dr Kamarul Yusof dalam forum anjuran Sinar Harian ke-53 bertajuk “Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM” semalam seharusnya dipuji apatah lagi berhujah berhadapan dengan Tun M sendiri.

2. Hujah yang diutarakan beliau dan sikap hormat yang beliau tunjukkan menyerlahkan budaya politik matang dan sejahtera yang diterapkan oleh PAS.

3. Inilah budaya berhujah dengan fakta dan penuh kematangan, bukan lagi budaya mencemuh membuta tuli apatah lagi penuh dengan jeritan dan carutan seperti yang malangnya kita sering dengar di dalam sidang Parlimen.

4. Walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan kiri dan kanan, namun Dr Kamarul masih berupaya menyampaikan pandangan dan hujah disokong dengan fakta yang kuat.

5. Ulasan beliau terhadap keupayaan Tun M untuk terus menjadi Perdana Menteri  disertakan dengan penghujahan dari sudut perundangan, fizikal, faktor genetik, kekuatan mental dan psikologi, moral, demografi serta kemampanan intelektual, filosofikal dan aspek yang paling penting adalah spiritual beliau.

6. Penghujahan yang diutarakan beliau sahaja sudah cukup komprehensif dari segala segi dan seharusnya itulah laras yang perlu dibahaskan secara teliti.

7. Ironinya, sebahagian pihak memandang perkara-perkara kecil lain untuk diperbesarkan. Di mana kematangan mereka untuk menilai isu yang sedang dibahaskan?

8. Saya kira ramai yang sedar siapa Tun M sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Beliau memiliki “shrewdness” dalam ucapan dan tindakan politik tetapi tidak apabila beliau berhadapan dengan hujah dan fakta. Inilah beza seorang tokoh politiking dengan ahli akademik yang jujur.

9. Setelah menyaksikan siaran forum tersebut, saya nyatakan sokongan terbuka kepada  Dr Kamarul di atas keberanian yang ditunjukkan.

10. Malah tulisan-tulisan beliau yang kritis terhadap pelbagai isu termasuklah isu kemaraan evangelis kristian di Malaysia juga telah membuka mata ramai pihak. Semoga terus kuat Dr Kamarul!

Sekian.

Nasrudin Hassan Tantawi

 



Comments
Loading...