Hadi: PAS ada kajian sendiri, kaji selidik Invoke ramalan ‘atas meja’


(FMT) – Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kaji selidik Invoke Malaysia yang mendakwa PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN ditandingi mereka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai kajian atas meja.

Presiden PAS itu dipetik Sin Chew Daily berkata, parti Islam itu mempunyai kajian sendiri yang membabitkan akar umbi dan akan membuat perbandingan dengan kajian pihak lain.

Beliau mendakwa Invoke yang diketuai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu tidak menjalankan kaji selidik sehingga peringkat akar umbi.

“Kajian PAS bertapak pada akar umbi, mereka (Invoke Malaysia) tak ada, hanya atas meja, tak sampai ke lapangan,” katanya dipetik akhbar itu selepas merasmikan mesyuarat perwakilan PAS Kawasan Tumpat, hari ini.

Semalam, Rafizi mendedahkan kaji selidik Invoke yang meramalkan Pakatan Harapan (PH) akan menawan 5 negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Perak pada PRU14.

Katanya, PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, mendahului 76 kerusi Parlimen yang dimenangi BN, sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara menyeluruh.

Bagaimanapun, ramalan lebih mengejutkan oleh Invoke ialah PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi mereka, termasuk di kubu kuat mereka, Kelantan.

Invoke meramalkan BN akan mengekalkan Terengganu dan Pahang, tetapi berjaya merampas Kelantan daripada PAS selepas 28 tahun berusaha.

Ramalan itu bagaimanapun tidak mengambil kira Sabah dan Sarawak.

 



Comments
Loading...