Beku peruntukan: PAS akan hantar surat kepada Sultan Selangor


Sallehen Mukhyi berkata, tujuan menghantar surat itu untuk memberitahu Sultan Selangor isu sebenar dihadapi adun PAS, bukannya untuk meminta campur tangan Tuanku. 

(FMT) – PAS Selangor akan menghantar surat kepada Sultan Selangor minggu depan berhubung isu pembekuan peruntukan untuk wakil rakyat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) parti Islam itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata surat itu bertujuan memaklumkan sultan mengenai isu sebenar dihadapi adun dan penyelaras PAS di negeri itu.

“Kita hantar surat bukan nak cabar sesiapa pun. Kita nak beritahu Sultan Selangor cerita yang betul. Itu sahaja. Bukan nak minta tuanku campur tangan ke apa. 

“Tuanku sebagai payung kepada rakyat dan kita nak maklumkan sebab rakyat sentiasa bertanya. Rakyat dalam keadaan runsing (kerana) tiba-tiba tak dapat bantuan mereka,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mengalu-alukan PAS menulis surat kepada Sultan Selangor berhubung isu tersebut.

“Silakan (tulis surat kepada istana),” kata timbalan presiden PKR itu.

Pada 6 Februari lalu, PAS Selangor memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pengerusi Pakatan Harapan negeri itu, jika beliau gagal memenuhi tuntutan mereka untuk mengagihkan peruntukan negeri kepada adun dan penyelaras DUN PAS sebelum sambutan Tahun Baru Cina, 16 Februari lalu.

Sallehen dilaporkan berkata, PAS akan menulis surat kepada Istana Selangor dan menggesa Jabatan Audit Negeri serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat isu itu kerana Azmin enggan memberi kebenaran bertulis untuk adun PAS diberikan akses kepada dana itu.

Difahamkan, pembekuan peruntukan RM800,000 kepada setiap adun Selangor itu hanya membabitkan wakil rakyat PAS dan didakwa bertujuan mencantas khidmat mereka kepada penduduk setempat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata, beliau akan mewakili adun dan penyelaras PAS menyerahkan surat itu kepada Istana Selangor kerana Azmin enggan memberi peruntukan itu selepas pelbagai usaha dilakukan wakil rakyat parti Islam itu.

“Proses berjumpa dengan Azmin sudah ada Adun yang sudah buat. Ada yang sudah tulis surat pada dia. Dia tetap tidak bagi, jadi memang niat dia tak nak bagi,” kata adun Sabak itu.

 



Comments
Loading...