‘Kami sudah puas pujuk Pas’, kata Nurul Izzah


(Malaysian Gazette) – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah puas memujuk Pas agar bersama-sama menyertai PH bagi menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Nurul Izzah yang turun ke Perak baru-baru ini berkata, partinya bersama-sama DAP, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menghantar PPBM untuk bekerjasama dengan Pas, namun semua langkah itu menemui jalan buntu.

“Kita sudah puas pujuk Pas (untuk menyertai PH dalam mendepani BN),” katanya memetik laporan media pro pembangkang semalam.

Nurul berkata demikan menjawab persoalan perwakilan PH Perak dalam Taklimat Penerangan dan Komunikasi PH Perak di SSL Trader Hotel, Kamunting Perak.

PH dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini membentuk gabungan baru pembangkang tanpa Pas dalam mendepani Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 kelak.

Manakala Pas bertindak membentuk gabungan sendiri yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

Sebelum itu timbul persoalan di kalangan ahli pembangkang perihal Pas yang tidak bersama dalam PH untuk PRU14 yang akan datang ini.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata jentera PH perlu bekerja lebih kuat dalam menarik pengundi Pas pada PRU-14 kelak.

“Orang Pas tidak semestinya akan undi Pas pada PRU-14 ini!

“Calon-calon kita, jentera kita buat baik kepada mereka. Beri penerangan kepada mereka, mereka akan undi PH pada PRU14 nanti,” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

 



Comments
Loading...