Lebih dari DAP, cakap Dr M tidak boleh pakai, kata menteri


(Bernama) – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menempelak Pakatan Harapan (PH) yang mahu memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada janji ‘bulan dan bintang’ PH, Mahdzir berkata dasar tersebut yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003, telah dimansuhkan sendiri oleh seorang daripada pimpinan tertinggi PH ketika ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan menteri pelajaran ketika itu.

“Kalau nak kira bantahan pada zaman itu, orang pembangkang pun buat bantahan, kemudian bila datang zaman Tan Sri Muhyiddin jadi menteri dia yang hapuskan PPSMI, hari ini Dr Mahathir cakap pula pasal nak kembalikan PPSMI jadi saya anggap itu sebahagian daripada janji-janji PH, esok lusa janji lain lagi,” katanya setelah menyampaikan bantuan persekolahan di SMK Kuala Nerang hari ini.

Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata, ketika ini pun sudah terdapat dua program di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) yang dilaksanakan di 10,000 sekolah dan Program Dua Bahasa (DLP) yang kini ada di 1,500 sekolah seluruh negara.

“Kalau PH nak buat program yang dia janji, itu hak dia, pada saya kita sudah ada program yang kita laksanakan sekarang ini dan kalau ada apa-apa kita nak buat ke hadapan lagi ia bergantung atas kesesuaian antara masyarakat, sekolah dan kemampuan kita kendalikan sesuatu program,” katanya.

Sehubungan itu, Mahdzir berkata perkara itu adalah bersesuaian dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) baru-baru ini yang menegaskan bahawa perkara asas dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak perlu diubah oleh mana-mana menteri pendidikan ketika menerajui kementerian berkenaan.

Mengulas kenyataan Dr Mahathir yang rela menjadi umpan menarik sokongan kaum Melayu melalui pencalonannya sebagai perdana menteri sementara PH, Mahdzir berkata perkara itu sangat bertentangan dengan prinsip bekas perdana menteri itu selama berpuluh tahun iaitu Melayu sebagai kuasa politik dominan di negara ini.

“Melayu mendominasi politik dan disokong kaum lain, itulah konsep pemerintahan dalam negara pelbagai kaum yang Dr Mahathir akui selama ini, lepas itu beliau sekarang bersama DAP dan sanggup menjadi umpan kepada parti itu semata-mata nak dapatkan undi untuk mendokong sebuah perjuangan yang diterajui DAP,” katanya.

Katanya, Dr Mahathir sendiri pernah menyatakan bahawa DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam malah menyatakan prinsip dalam parti itu sangat tidak rasional kerana hanya mahu memperjuangkan kepentingan satu bangsa sahaja.

“BN telah berada dalam pendemokrasian yang rasional selama 60 tahun tapi tiba-tiba Dr Mahathir keluar (parti) dan dalam masa dua tahun dia jadi lebih daripada DAP, dia dah jadi lebih dari pada dasar DAP, kalau Tun dah sampai sejauh itu kita tidak boleh pakai apa Tun sebut,” katanya.

 



Comments
Loading...