Saman Rafizi: LTAT tiada masalah bayar pesara tentera, kata saksi


(Bernama) – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak mempunyai masalah kewangan untuk membayar gratuiti kepada pesara tentera malah kedudukan kewangan badan berkanun itu juga kukuh.

Timbalan Ketua Eksekutif LTAT Datuk Zakaria Sharif menegaskan tiada sebarang kelewatan pembayaran gratuiti kepada pesara tentera kerana kedudukan kewangan LTAT atau kontrak bersama 1MDB bukanlah penyebab kelewatan pembayaran seperti yang didakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

“Oleh yang demikian saya menegaskan bahawa tuduhan defendan (Mohd Rafizi) adalah fitnah dan tidak benar. Kenyataan defendan yang cuba mengaitkan plaintif (LTAT) dan 1MDB adalah berniat jahat,” katanya pada perbicaraan kes saman LTAT terhadap Rafizi berhubung kenyataan bahawa LTAT lewat membayar gratuiti kepada pesara tentera.

Saksi pertama plaintif itu juga menjelaskan bahawa pembayaran gratuiti kepada pesara tentera tidak mempunyai kaitan langsung dengan projek antara Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) dan 1MDB. 

Dalam penyataan saksinya, Zakaria berkata beliau membuat laporan polis bagi pihak plaintif kerana defendan masih berterusan membuat kenyataan mengenai kelewatan pembayaran gratuiti pencarum tentera.

“Tindakan defendan ini memberi kesan ke atas kepercayaan anggota tentera dan pesara-pesara terhadap plaintif. Oleh yang demikian, plaintif menyerahkan perkara ini kepada polis untuk disiasat. Saya juga percaya bahawa kenyataan-kenyataan defendan adalah semata-mata isu politik dan tidak ada asas untuk mengaitkan masalah 1MDB dan pembayaran gratuiti pencarum tentera oleh plaintif,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung 27 April.

Pada 6 Mei 2016, LTAT memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung 3 kenyataan mengenai bayaran gratuiti kepada pesara tentera bagi menuntut ganti rugi am, teladan, dan perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam penyataan tuntutannya, LTAT mendakwa Rafizi mengeluarkan kenyataan bertajuk “Bayaran gratuiti pesara angkatan tentera lewat; LTAT perlu dedahkan risiko kewangan akibat 1MDB” dalam laman blog dan Facebook pada 21 Mac 2016.

Ia juga menyatakan pada 24 Mac 2016 melalui laman Malaysiakini, Rafizi mengeluarkan kenyataan bertajuk “Rafizi: I have document showing LTAT’s link to 1MDB”.

Pada 28 Mac 2016, Rafizi didakwa mengulangi kenyataanya di laman Facebook bertajuk “Laporan ketua audit negara ke atas 1MDB mengesahkan kesan masalah kewangan 1MDB ke atas LTAT”.

Plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Rafizi menuduh LTAT secara tidak langsung atau secara sindiran, tidak menjaga faedah, kebajikan dan tidak mempunyai wang untuk membayar pesara tentera.

 



Comments
Loading...