ANTARA NAFSU DAN KUDRAT PARTI POLITIK


Dari Sudut Lain

Suhu politik negara semakin panas akhir-akhir ini. Perkara biasa yang akan berlaku setiap kali menjelang pilihanraya. Para penggiat politik akan semakin aktif mengatur gerak dan mempelbagai langkah. Pemerhati dan penganalisis pula semakin banyak berteori dengan fakta dan persepsi. Para pemilih pula makin semangat membincangkan isu-isu politik baik sesama keluarga di rumah, sesama rakan di pejabat dan kedai kopi, mahupun sesama kenalan di media sosial dan alam maya. Masing-masing semakin berani memberi isyarat kepada siapakah undi mereka bakal diberikan.

Bermacam gelagat parti politik yang boleh dilihat. Bagi memenangi hati pengundi, sudah tentu setiap parti mahu memperlihatkan diri merekalah yang terbaik dan paling layak. Walaupun hakikatnya kadang-kadang berbeza dari apa yang dinyatakan, yang penting mereka tidak boleh sekali-kali dilihat lemah.

Setiap kali pilihanraya, kita akan mendengar ayat PRU kali ini adalah milik pembangkang. Setiap kali pilihanraya juga kita akan mendengar kerajaan bakal menang selesa dan mudah. Walaupun keputusannya berbeza, kita akan tetap menaruh harapan setiap kali ayat sama diulang dan natijah yang sama berulang.

Menjadi keperluan untuk pemilih untuk bijak menilai apa kemampuan dan kelayakan sesebuah parti. Jangan hanya dengar apa mereka kata. Tetapi kaji sendiri bagaimanakah keadaan parti itu yang sebenar.  Politikus akan sentiasa bermulut manis. Tetapi hakikat sukar untuk disembunyikan.

Kita mengambil contoh Pakatan Harapan. Setiap kali dalam ceramah PAN, mereka sentiasa mengatakan bakal menawan kerusi itu dan kerusi ini. Mereka sentiasa mengatakan sokongan mereka semakin bertambah. Mereka aktif bergerak. Tetapi hakikatnya sambutan terhadap parti itu sangat hambar di kalangan masyarakat. Sangat jarang program-program ceramah dan pidato awam mereka mencapai tahap separuh dari kerusi yang ada.

PPBM pula menggambarkan diri mereka sebagai penentang kepada Umno yang dilihat sudah begitu busuk dengan berbagai salahlaku. Mereka mendakwa mereka mahu memperjuangkan kebenaran yang sudah tiada di dalam Umno. Tetapi hakikatnya, mereka masih sukar membuang perangai Umno. Oleh kerana terlalu lama berkuasa, mereka tidak mampu lagi untuk berada di bawah orang lain. Itulah yang berlaku sehingga mereka mahu bertanding di kerusi yang lebih banyak daripada parti lain dalam PH. Mereka juga tidak boleh membuang DNA Umno dengan perangai samseng dan gila kuasa, apabila mengamuk ketika pembahagian kerusi Negeri Sembilan dibuat.

Jika dikira, PPBM merupakan parti yang paling kecil dan paling junior di dalam PH. Tetapi nafsu dan seleranya seperti dinasour. Kawasan dan cawangan akar umbi pun masih belum wujud. Tetapi bercita-cita besar mahu mengepalai negara sebagai PM. Inilah yang disebut nafsu lebih besar dari kudrat. Seperti orang tua 90 tahun, tapi masih bernafsu untuk tambah isteri.

Berbeza dengan keadaan PAS. Mereka adalah parti paling lama di Malaysia jika dikira Umno lama yang diharamkan tahun 1988. Keahlian mereka kedua terbanyak selepas Umno iaitu kira-kira sejuta ahli. Sambutan terhadap parti itu terutama di kalangan anak muda semakin galak dengan permohonan ahli yang sentiasa bertambah. Jentera mereka juga kuat di peringkat akar umbi. Dan pemimpin mereka semakin disegani.

Tetapi mereka hanya menyasarkan sebanyak 40 kerusi sahaja untuk dimenangi. Strateginya adalah bagi menjadi King-Maker. Mengikut bacaan mereka, dijangka akan berlaku situasi hung-parliament di mana tiada mana-mana parti politik atau pakatan dapat menubuhkan kerajaan sendirian. Justeru itu setiap pihak yang mahu membentuk kerajaan perlu berbincang dengan PAS. Pada waktu itu mereka bakal menawarkan kesediaan dengan syarat perjuangan mereka dapat diketengahkan dalam agenda kerajaan yang bakal dibentuk.

Jika diikutkan, sasaran empat puluh kerusi adalah relevan dengan kemampuan yang ada pada PAS. Mengikut rekod, PAS berjaya mendapat jumlah kerusi parlimen paling tinggi pada 1999 iaitu sebanyak 27. Itupun ketika media masih dikuasai BN. Media sosial masih belum wujud. Dengan perkembangan terkini yang memperlihatkan PAS semakin diterima di kawasan semi urban dan urban, ia wajar diambil kira.

Penganalisis politik di Pulau Pinang, Wong Chin Huat turut menyatakan pendapat yang sama tentang strategi PAS bagi menjadi King-Maker. Beliau berpesan agar semua pihak tidak memandang rendah keupayaan PAS. Tambah beliau, PAS akan menjadi pihak yang paling penting dalam membentuk kerajaan baharu selepas PRU14 nanti.

http://m.thesundaily.my/node/522957

PAS juga semakin kreatif menawarkan diri sebagai ‘jalan tengah’ untuk mereka yang benci kepada BN tetapi turut meluat dengan PH. Penguasaan Mahathir terhadap PH, skandal pemimpin DAP dan PKR yang semakin terbongkar, juga sikap mereka terhadap Islam antara faktor yang menyebabkan meluat itu berlaku. Tidak mustahil undi protes terhadap PH dan BN bakal pergi kepada PAS dan Gagasan Sejahtera mereka.

Sebaran kempen yang dibuat oleh PAS sangat menarik. Mereka namakan sebagai ‘Resume PAS untuk Rakyat’. Nampak rendah diri dan cuba membuka jalan kepada kebuntuan politik di Malaysia. Di dalam sebaran tersebut, mereka memaparkan sumbangan PAS terhadap negara dan rakyat sepanjang penglibatan dalam politik.

Sumber:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1352544704852134&id=348706355235979

Kesimpulannya, PAS tidak bercakap atas angin dan janji kosong. Mereka tawarkan apa yang mereka sudah buktikan mereka mampu. Ini adalah ciri-ciri penting bagi sebuah kerajaan menanti.

 



Comments
Loading...