GMP kesal tindakan M.Kulasegaran soal isu ketuanan Melayu


(Bernama) – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang mempersolkan isu ketuanan Melayu dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang Melayu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail berkata kenyataan Kulasegaran itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan orang Melayu.

Bercakap kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan kepada Kulasegaran melalui pejabat DAP Perak di sini, beliau berkata persoalan yang dibangkitkan oleh pemimpin DAP itu tidak berpijak kepada realiti kerana orang bukan Melayu yang sebenarnya “tuan” di Malaysia.

“Manakan tidak, ramai orang Melayu menjadi pengawal keselamatan kepada tuan-tuan syarikat yang berbangsa Cina dan India. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dibangkitkan juga dengan mengatakan diskriminasi berlaku kepada kaum lain juga tidak betul kerana kaum Cina dan India khususnya dilihat lebih memonopoli ekonomi negara,” katanya.

Mohd Hilmi berkata isu ketuanan Melayu tidak pernah wujud bahkan dalam Perlembagaan Persekutuan sekalipun ia tidak dinyatakan cuma disentuh mengenai hak keistimewaan orang Melayu di bawah Perkara 153.

 



Comments
Loading...